Mangsa kemalangan boleh saman syarikat lebuh raya, kata peguam

Accidnt-kemalangan-Highway-Twitter Mangsa kemalangan boleh saman syarikat lebuh raya, kata peguam
Pengguna boleh mengambil tindakan undang-undang jika mengalami kecederaan, kemalangan dan kehilangan nyawa ketika menggunakan lebuh raya. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Masyarakat dinasihati memahami hak mereka untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mengalami kecederaan, kemalangan dan kehilangan nyawa ketika menggunakan lebuh raya di negara ini.

Peguam, Sankara N Nair berkata orang ramai mesti dimaklumkan mengenai hak mereka untuk menuntut ganti rugi terhadap mana-mana badan, organisasi dan syarikat yang menyebabkan kerosakan harta benda, kecederaan peribadi atau kematian yang berpunca daripada kecuaian pihak lain.

Katanya, individu, mangsa atau keluarga boleh memfailkan saman sivil terhadap syarikat konsesi lebuh raya jika berlaku perkara yang tidak diingini.

“Ini sepenuhnya kecuaian. Akta Pengangkutan Jalan tidak relevan di sini (untuk failkan saman).

“Tetapi tindakan sivil kerana cuai di bawah Tort Kecuaian dengan mengemukakan writ saman kepada mahkamah,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, Akta Pengangkutan Jalan boleh digunakan sekiranya pengguna atau pemandu yang lain secara cuai menyebabkan kemalangan, kecelakaan atau kehilangan nyawa pengguna lain.

Peguam-Sankara-N-Nair-FMT Mangsa kemalangan boleh saman syarikat lebuh raya, kata peguam
Peguam Sankara N Nair.

Mengikut laporan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) berakhir 2017, sebanyak 4,933 kes kemalangan di lebuh raya direkodkan. Sebanyak 138 daripada jumlah itu melibatkan kemalangan maut.

Pada 22 Mei lalu, rata-rata netizen meluahkan rasa kesal dan bimbang selepas satu perkongsian di Twitter menunjukkan struktur laluan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) yang membahayakan pengguna.

Perkongsian itu menunjukkan seorang wanita mengalami kecederaan di wajah selepas melalui jalan NKVE di KM26.4 dari Shah Alam ke Tol Duta pada hari tersebut.

Apabila ditanya, apakah langkah selanjutnya yang boleh diambil oleh mangsa, Nair berkata mangsa boleh memfailkan saman sivil kepada syarikat lebuh raya berkenaan.

“Saya merasakan NKVE dimiliki oleh PLUS. PLUS mempunyai kewajipan untuk menjaga seluruh penggunanya terutama sekali pemandu di lebuh raya mereka selepas membuat bayaran tol.

“PLUS juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap lebuh raya beroperasi dan diselenggara dalam keadaan baik untuk memastikan ianya selamat untuk digunakan,” katanya.

Nair berkata PLUS boleh menjadi pihak yang perlu dipertanggungjawabkan kerana kecuaian sehingga menyebabkan kerosakkan, kecelakaan dan kehilangan nyawa pengguna mereka.

 

Mangsa kemalangan boleh saman syarikat lebuh raya, kata peguam