Tajuddin minta maaf melenting di mahkamah

95b4b1986e1339f75573d4f0946ef002 Tajuddin minta maaf melenting di mahkamah

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman meminta maaf di mahkamah kerana sikapnya ketika hadir kes perbicaraan saman terhadap Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad hari ini.

Kes saman itu turut melibatkan dua yang lain iaitu KiniTV Sdn Bhd dan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) yang masing-masing diwakili K Shanmuga dan Rueben Mathiavaranam.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Aliza Sulaiman sebelum itu mengingatkan Tajuddin agar merujuk kepada peguam dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Saya meminta maaf kepada mahkamah kerana ini kali pertama saya di mahkamah. Saya tidak biasa dengannya (proses mahkamah),” katanya.

Prosiding hari ini adalah bagi perbicaraan penuh kes saman berhubung dakwaan Tajuddin bahawa Khalid memanggilnya dengan istilah “sial” pada dua sidang media di lobi Parlimen pada 21 dan 24 November 2016.

Istilah sial berkenaan diucapkan Khalid dalam Dewan Rakyat selepas Tajuddin secara berseloroh menyebut hanya Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) satu-satunya ahli parlimen wanita yang mempunyai ‘Kok’.

Khalid turut mendakwa Tajuddin turut menghina anggota parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto.

Susulan itu, Tajuddin mencabar Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam supaya mengulangi perkataan “sial” di luar Dewan Rakyat kepadanya.

Dakwa video disunting

Perbicaraan yang bermula pada 11.10 pagi itu menyaksikan Tajuddin tidak berpuas hati selepas pihak defendan dibenarkan menyiarkan tiga klip video yang diakui oleh Tajuddin sebagai sumber kepadanya untuk memfailkan saman berkenaan.

Video pertama yang disiarkan memaparkan pertikaman lidah antara Tajuddin, Khalid, Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena), Kasthuri Patto (DAP-Batu Kawan) dan Teresa di Dewan Rakyat.

Tajuddin turut mendakwa video tersebut sebagai disunting.

“Kalau kamu nak siarkan. Biar ia dari awal. Jangan main politik. Kandungan video perlu secara menyeluruh. Ini disunting bagi kepentingan anda,” kata Tajuddin ke arah peguam Khalid, Sankara Nair.

6ff06f8ab0cba7fbb3f781e720ef0f45 Tajuddin minta maaf melenting di mahkamah

Khalid yang turut berada di dalam mahkamah dilihat tersenyum ke arah Tajuddin sebelum bergegas keluar dari dan memaklumkan beliau perlu menghadiri mesyuarat.

Tajuddin kemudian ditenteramkan oleh peguamnya, Hasnal Rezua Merican dengan memaklumkan bahawa pihak defendan mempunyai hak untuk memaparkan video berkenaan.

Selepas itu, Tajuddin sekali lagi tidak berpuas hati apabila klip video kedua dipaparkan.

Klip video kedua itu merupakan rakaman sidang media yang pertama oleh Khalid di luar Dewan Rakyat yang memaparkan ahli-ahli parlimen PH mengecam tindakan Tajuddin dalam Dewan Rakyat yang disifatkan sebagai tidak bertamadun serta menghina golongan wanita.

Susulan itu, Tajuddin dilihat berpaling dari sudut paparan klip video berkenaan dan memandang arah lain.

“Apa ini?” soal beliau kepada Hasnal, sebelum diminta bersabar oleh peguamnya itu.

Tajuddin berdiam diri ketika klip video ketiga disiarkan.

Video ketiga tersebut merupakan sidang media kedua oleh Khalid yang memaparkan pemimpin Amanah itu menyatakan kesediaan meminta maaf kepada Tajuddin sekiranya Tajuddin turut membuat yang sama kepada Teresa dan Kasthuri.

Bawa kamus DBP

Ketika Hasnal meminta Tajuddin untuk mengesahkan ketiga-tiga video tersebut, Tajuddin tidak menjawab soalan penguamnya sebaliknya mengadu bahawa beliau tidak diberi ruang untuk mempertahankan diri.

“Video ini tidak adil dan berat sebelah. Mereka sepatutnya memberi masa kepada saya untuk menjawab. Ini tidak adil. Video ini cuba potret (gambarkan keadaan) lain.

“Yang Arif saya tidak akan benar isu (penyiaran video terhadapnya) ini dipanjangkan. Ini isu maruah saya. Jadi, jangan main-main dengan hal ini. Ini bukan isu simple (senang),” katanya.

Hakim kemudian mengingatkan Tajuddin bahawa beliau tidak menjawab soalan.

Tajuddin memohon maaaf dan menjelaskan bahawa beliau tidak biasa dengan prosedur mahkamah kerana merupakan kali pertama hadir prosiding seumpamanya.

Terdahulu, Tajuddin turut membawa kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke mahkamah untuk menerangkan erti perkataan ‘sial’ yang digunakan terhadapnya.

“Ini kamus DBP edisi keempat, di mana perkataan ‘sial’ diertikan sebagai ‘celaka’ yang membawa maksud menjahanam dan terkutuk.

“Dalam bahasa Inggeris ia membawa maksud ‘cursed’ bermakna orang tidak boleh dekat dengan seseorang ‘cursed'”, jelas beliau lagi.

Perbicaraan akan bersambung pada Mei untuk pemeriksaan balas terhadap Tajuddin oleh Sankara.