KUALA LUMPUR 22 April – Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok Suh Sim gagal dalam samannya terhadap bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan tiga yang lain selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan penangkapan dan penahanannya di bawah Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, lapan tahun lalu adalah sah di sisi undang-undang.

Hakim Datuk Su Geok Yiam turut memerintahkan Ahli Parlimen Seputeh itu yang memfailkan saman tersebut pada 13 Mac 2009 membayar kos sebanyak RM50,000 kepada kesemua defendan.
Selain Syed Hamid selaku defendan pertama, Teresa, 50, menamakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; pegawai di Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Superintenden (DSP) E Kim Tien dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua hingga keempat.
Kesemua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Lailawati Ali manakala pemimpin pembangkang itu diwakili peguam-peguam, Sankara Nair dan K. Murali.
Teresa ketika ditemui oleh pemberita selepas tamat prosiding memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Menurut pernyataan tuntutannya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara itu mendakwa defendan dengan cuai telah menahannya tanpa sebarang alasan yang munasabah, tidak sah dan tanpa sebarang justifikasi (kewajaran) pada 12 hingga 19 September 2008.
Antara lain alasan penangkapan yang diberikan ialah beliau dipercayai telah bertindak mengikut cara yang memudaratkan keselamatan negara dan melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan antara kaum dan agama.
Teresa turut mendakwa beliau telah ditahan di tahanan persendirian di satu tempat rahsia, ditempatkan dalam keadaan yang tidak sesuai untuk manusia dan dinafikan hak perlembagaannya.
Berikutan penahanan tersebut, dakwanya, beliau telah diletakkan di bawah tekanan mental yang teruk, kesakitan, kesengsaraan akibat keracunan makanan, kehilangan, kerugian, penafian hak kebebasan dan hak-hak lain di bawah perlembagaan.