SHAH ALAM – Bekas ahli panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Saman difailkan menerusi Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini, hari ini.
Phang dalam pernyataan tuntutan mendakwa kenyataan dikeluarkan oleh Musa dalam satu akhbar bulan lalu satu fitnah yang menjejaskan nama beliau.
Menurutnya lagi, Musa turut mendakwa dirinya sebagai seorang yang tidak jujur dan tidak boleh dipercayai serta pembohong.
Dakwa Phang, Musa turut menyifatkan beliau adalah seorang yang korup, tidak beretika dan telah melakukan kesalahan jenayah yang boleh dihukum dengan pemenjaraan.
Phang dalam pernyataan tuntutan mendakwa Musa telah mengucapkan kata-kata fitnah dalam sidang akhbar yang diadakan oleh MyWatch pada Disember tahun lalu.
Menurutnya, kata-kata yang dikeluarkan oleh Musa secara tersirat dan menyifatkan beliau sebagai seorang tidak jujur, tidak boleh dipercayai serta pembohong.
“Perkataan Musa itu boleh mencemarkan imej dan menjatuhkan reputasi saya,” katanya.
Phang berkata, Musa turut menyifatkan beliau seorang yang korup, tidak beretika dan telah melakukan kesalahan jenayah yang boleh dihukum dengan pemenjaraan.
Dakwanya lagi, pernyataan yang diucapkan Musa menyebabkan beliau mengalami ‘distress’.
“Dakwaan itu hanyalah satu perbuatan terhadap dirinya dan tidak benar.
“Ia hanya untuk mencari publisiti murahan yang ingin memburukkan nama baik dan karakter saya,” katanya.
Phang berkata, dia memfailkan saman ini kerana Musa didakwa enggan meminta maaf terhadapnya atas kenyataan yang dikeluarkan itu.
Dalam tuntutan saman fitnah itu, Phang menuntut ganti rugi RM100 juta dan perintah injunksi bagi menghalang Musa mengungkapkan kata-kata berbaur fitnah terhadapnya.
Beliau juga memohon faedah sebanyak lima peratus ke atas jumlah penghakiman dari tarikh pemfailan writ saman sehingga kes selesai dan apa-apa relif yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.
